JOHO - Fenomena luar biasa yang sedang hangat diperkatakan oleh rakyat negeri Johor Darul Takzim membuka mata banyak pihak terutama golongan remaja. JOHO adalah sebuah organisasi berdaftar membuka sebuah kumpulan (Group) sacara rasminya pada Oktober 2009 menggunakan platform laman sosial Facebook. Tanpa diduga, kemunculan organisasi yang menarik minat muda-mudi di selatan tanah air ini berkembang pesat dengan pantas dan sehingga saat ini, JOHO menarik minat seramai 1811 orang ahli dalam kumpulannya. Diterajui oleh Azrafe Zaky dan rakan-rakannya yang lain, JOHO juga dapat menarik minat remaja yang berada di luar negeri Johor.
JOHO telah mengadakan pelancaran lembut (soft launch) pada 1 Januari 2010 bertempat di Roost Bistro, The Zone. Malam yang penuh dengan kesenian itu diberi nama SPAM (Southern Project of Arts Movement) dan dikunjungi ratusan ahli JOHO yang mahu melihat atau bersama-sama merasai kehebatan kumpulan JOHO ini. Tidak disangkal lagi, selepas pelancaran lembut ini, JOHO terus berkembang manambat hati para remaja.
JOHO bukanlah satu organisasi yang tertumpu kepada hiburan sahaja, malah JOHO juga adalah sebuah kumpulan yang menjana minat seni kepada ahlinya dari pelbagai sudut contohnya seni muzik, seni fotografi, seni sastera, seni videografi dan pelbagai lagi. Dari kepelbagaian itu, ramai ahlinya yang cenderung dalam pelbagai corong seni dapat menonjolkan bakat mereka sekaligus melahirkan lebih ramai anak seni kelahiran bumi selatan ini.
Bagi mereka, JOHO adalah sebuah organisasi di mana anak-anak JOHO dapat berkumpul, berkongsi idea, berkongsi informasi contohnya JOHO membuka ruang perbincangan (thread discussion) di dalam kumpulan mereka dan membincangkan tempat-tempat menarik untuk di lawati malah tempat yang menyediakan teh tarik terbaik di sekitar negeri JOHO.
Salah satu yang menjadi keunikan kumpulan JOHO adalah plate JOHO. Plate JOHO sudah menjadi benda wajib bagi ahlinya untuk dibawa ke mana-mana destinasi yang ditujui mereka. Mereka akan bergambar bersama plate JOHO lalu dimuat naik (upload) ke laman sosial Facebook. Inilah yang menjadi salah satu kebanggaan JOHO kerana mempunyai ahli yang "sporting".
Baru-baru ini, JOHO telah melancarkan edisi terhad t-shirt JOHO siri satu dan bakal menjumpai para ahlinya pada hari Rabu, 24 Feb di Rebirth, Plaza Seni, Johor Bahru. T-shirt edisi terhad ini bakal membuka mata ramai pihak untuk menjadikan JOHO sebuah organisasi yang lebih efisyen dan berkesan di selatan tanah air.
Seharusnya, para remaja di luar sana mengambil kesempatan malah menggunakan teknologi masa kini untuk memupuk minat dalam aktiviti-aktiviti dan menyertai kumpulan hebat sebegini kerana ini adalah salah satu proses pembelajaran dan pengenalan. Setiap bakat yang disemai di dalam diri tidak harus dipersiakan, kumpulan JOHO contohnya adalah sebuah kumpulan yang layak mendapat pengiktirafan dalam membangunkan generasi muda masa kini.
credit to qusyairezwan
http://mynameisqe.blogspot.com